Kita semua adalah pendatang. Musafir hidup di dunia sebelum mati. Begitu juga asali manusia kita, Tok Adam terbuang-datang ke dunia angkara makan buah terlarang di syurga.
Jadi persoalan pendatang cukup erat dengan manusia.
Secara semangat nasionalisme yang melingkari persoalan bangsa dan negara, kita seringkali dimomok dengan sentimen kebencian kepada subjek yang boleh mengancam termasuk kaum lain atau negara lain. Ini menjadi umpan mudah para nasionalis dalam menaikkan semangat patriotik.
Islam mengajar kita tentang mencintai kebenaran, keadilan, kesaksamaan yang mengatasi nasionalisme. Kita mencintai bangsa dan agama, tetapi ia tidak mengatasi kebenaran dan keadilan.
Saya kurang bersetuju mengatakan “Cina Penceroboh atau pendatang”.
Kedatangan kaum Cina dan India datang ke Tanah Melayu beberapa fasa.
Mereka telah dikesan datang sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Masyarakat Melayu Melaka ketika itu menerima mereka dengan baik. Kemudian diikuti semasa zaman sultan-sultan Melayu era negeri-negeri Melayu Lama dan Baru, dan diikuti zaman British.
Penerimaan Masyarakat Melayu Melaka terhadap ‘pendatang’ menunjukkan mereka mempunyai budaya kosmopolitanisme yang tinggi dengan ketoleransinya. Ini antara sifat bangsa yang bertamadun kelas tinggi. Paling menarik, Kesultanan Melayu Melaka bersedia menerima beberapa orang pembesar berketurunan India Muslim dapat pentadbiran mereka.
Suka atau tidak, kemajmukkan penduduk tidak dapat dielakkan bagi sesebuah negara kerana ia melibatkan sejarah dan kepentingan ekonomi.
Bukan semua Cina seperti Lim Kit Siang, Bukan semua Melayu seperti Ibrahim Ali.
Bukan semua orang Cina termasuk kepimpinan DAP terbuka dan seolah-olah terbebas daripada pemikiran perkauman seperti Lim Kit Siang dan begitu juga orang Melayu yang bukan semua berpemikiran seperti Ibrahim Ali.
Dalam setiap bangsa, kewujudan pelbagai kelompok adalah normal kerana pemikiran kita diasuh oleh latarbelakang diri, pendidikan, persekitaran, pengaulan, pembacaan, kepentingan diri dan sifat peribadi diri. Perkara ini melahirkan kelompok perubahan, tradisi, ekstrem dalam masyarakat.
Pendidikan dan penerangan berterusan perlu dilakukan agar jurang diantara kelompok dapat dirapatkan.
Ketaatan atau Kesetiaan?
Antara keCinaan dengan keIndiaan, orang Melayu lebih merapati kebudayaan India walhal kedua-dua tamadun cukup erat dengan ketamadunan Melayu.
Sebab itu orang Melayu boleh menangis melihat filem India berbanding filem China atau Arab. Orang Melayu juga suka makan roti canai, kari dan berkain pelikat. Ini semua bau bacan keIndiaan.
Khabarnya, zaman dahulukala anak raja India telah mengikat sumpah dengan pembesar Melayu Palembang, bumi yang dikatakan bangsa Melayu berasal. Kesetiaan ini menjadi intipati feudalisme Melayu.
Kesetiaan Melayu kepada pemimpin menjadi pertembungan dengan ketaatan kepada Allah. Kadangkala kesetiaan itu lebih besar daripada ketaatan.
Apabila Parameswara lari ke Temasik dan kemudian menubuhkan Kesultanan Melayu Melaka, kesetiaan orang Melayu ditagih sehingga Orang Laut dan penduduk asal Melaka bersedia menerima naungan Parameswara. Begitu kesetiaan rakyat kepada raja yang boleh kita anggap pendatang.
Bugis itu Melayu
Banjar itu Melayu
Jawa itu Melayu
Batak itu Melayu
Sulu itu Melayu
Mamak juga Melayu..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan