Selasa, 10 Jun 2014

DR ASYRAF: MENTERI BESAR KELANTAN DALAM PEMBIKINAN




Dr Asyraf Wajdi antara anak muda transformis dalam UMNO yang menjadi harapan saya agar berlakunya anjakan paradiqma dalam batang tubuh dan otak UMNO selain Saudara Khairy Jamaludin dan Dato Saifuddin Abdullah. 

Dilahirkan dalam keluarga UMNO dan mempunyai susur leluhur ulama terbilang Tok Selehor, Dr Asyraf  merapati diri kepada tradisi intelektualisme-aktiviisme PKPIM-ABIM.

Seingat saya, beliau memimpin PKPIM beberapa penggal dan memimpin organisasi Islam itu pada zaman kehangatan reformasi dimana Dato Seri Anwar Ibrahim sedang kepanasan dalam tampuk kerusi Timbalan Perdana Menteri dan timbalan Presiden UMNO.

Masih teringat kelucuan Dr Asyraf ketika menaiki motorsikal semasa kempen pilihanraya umum 2008 bagi parlimen tumpat.

Kini, Dr Asyraf memegang jawatan YDP Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia(YADIM), satu organisasi Islam yang rapat dengan pemerintah.

Pada era ini, saya merasakan sudah tiba masanya Dr Asyraf diberi ruang dan peluang untuk memimpin Badan Perhubungan UMNO Kelantan sekaligus sebagai calon Menteri Besar Kelantan. Watak Islamis ala Dato Seri Amar Diraja, Wan Mokhtar(mantan MB Terengganu) boleh dijadikan penawar dalam menghadapi watak Islamis PAS.

Sebagai seorang mantan aktivis mahasiswa Islam, jelas beliau telah ditarbiah dalam silibus Islam haraki. Beliau juga seorang profesional dan ilmuan bertaraf antarabangsa dalam kewangan Islam, pengalaman dalam YADIM dan mempunyai daya intelektual yang tinggi. Semua ini adalah pakej yang baik bagi bakal MB.

Cuma apa yang perlu diperbaiki ialah sikap turun padang ketemui rakyat bawahan, tidak terlalu terkongkong dengan budaya elitis, jalinan hubungan baik dengan pimpinan UMNO Kelantan dan mempraktiskan idealisme Islam kepada realiti kehidupan.

 Pembinaan tapak politik perlu dibina daripada sekarang agar tidak berlaku ‘cah keting’ jika dilakukan pada saat akhir.

*secara peribadi mereka bertiga perlu mempunyai wadah yang lebih baik jika UMNO gagal berubah. Nasib Dato Saifuddin Abdullah perlu dijadikan pengajaran.

Selamat berjuang, ubah sebelum rebah.

Jumaat, 6 Jun 2014

PENGALAMAN BERAGAMA ATAU PENGALAMAN BERSAMA ORANG BERAGAMA?




“bagaimana agama boleh dihidupkan kembali dalam dunia yang bukan lagi lupakan Tuhan tetapi mengutuk Tuhan” Wajah Pendeta

Islam adalah satu cara hidup. Islam jelas bertentangan konsep agama yang difahami oleh pemikir Barat yang memisahkan antara dunia dengan akhirat. Fahaman ini dikenali Sekularisme.

Agama Islam adalah agama yang cukup sederhana, mudah dan fitrahnya sesuai untuk semua kumpulan dalam masyarakat. Selagi tidak melanggar ajaran al quran dan hadith, para pengikut agama ini boleh mengamalkan segala amalan  walaupun tidak berbudaya arab.

Pengalaman Beragama

Islam ditafsir oleh orang yang ahli tentang Islam. Keahlian diukur bukan sahaja dengan ketinggian ilmu tetapi dengan ketaqwaan, kewarakkan dan ketinggian akhlak seseorang yang kita kenali sebagai ulama.

Pentafsiran ulama seringkali menjadi bahan kritikan. Mereka mengkritik hasil ijtihad ulama dan keperibadian seseorang ulama.  ulama juga manusia biasa yang tidak sempurna dan terbuka dengan kelemahan, kesempatan ini diambil untuk mengutuk ulama dan agama Islam.

Pentafsiran yang berbeza dalam kalangan ulama melahirkan mazhab. Mazhab merupakan panduan beragama memudahkan orang awam bukannya menyukar hidup beragama dan bukan menjadi alat persengketaan sesama muslim.

Sebagai umat Islam, kita diberikan akal untuk melakukan pilihan yang diijtihad oleh para ulama. Buatlah pilihan yang mudah, sesuai dengan persekitaran dan kemampuan kita.

Kita kena ingat ulama sendiri terbahagi kepada dua ialah ulama baik dan ulama jahat. Ulama jahat ialah manusia yang bertopeng agama dan memperdagangkan agama untuk kepentingan diri dan kelompok sendiri.

Jadi, dengan akal yang sihat kita kena buat pilihan pentafsiran yang mampu dan mudah kita lakukan dengan syarat ijtihad ulama yang kita ikuti semestinya daripada ulama yang berwibawa dari segi ilmu dan akhlaknya. Paling baik jika keputusan tersebut dilakukan oleh sekumpulan ulama yang berwibawa.

Pengalaman Bersama Orang Beragama..


Bukan semua agamawan hidup atau bertindak dengan apa yang diucapkan mereka. Mereka juga mempunyai kelemahan dan tidak sempurna. Pada saya, ikutan utama kita ialah Rasulullah SAW. Baginda contoh tauladan kita. Selagi agamawan tersebut ikut Rasulullah selagi itu kita boleh ikut agamawan tadi.

Disinilah pentingnya meramaikan guru, memperbanyakan membaca daripada pelbagai aliran.

Ada juga agamawan yang berakhlak buruk. Percakapan seringkali berkaitan seks dan poligami, meniaga seringkali menipu, memperdagangkan produk dengan hujah agama. Perkara ini telah menjatuhkan kewibawaan agamawan tersebut dan boleh merosakkan imej Islam.

Ada juga pemimpin merangkap agamawan gagal menunjukkan akhlak yang baik dan tindakan kurang berhikmah walaupun perkara itu adalah betul. 

Pemikiran para agamawan yang kurang memahami keutamaan dan realiti semasa’(walaupun seringkali bercakap tentangnya) serta kurang mesra anak muda menjauhkan lagi agamawan dengan masyarakat. Agamawan banyak bercakap tetapi kurang mendengar dan bertindak.

Saya menganggap itu semua kelemahan peribadi para agamawan tersebut bukannya agama Islam. Kita perlu lebih banyak mengamalkan agama ini daripada mereka.

Sistem yang dihasilkan daripada pentafsiran para agamawan juga kadangkala banyak menyukarkan masyarakat, kurang mesra dan kurang berkesan serta kurang pemantauan. Jabatan Agama yang diamanah untuk menggerakkan agama banyak melakukan tindakan yang mengelirukan menyebabkan ada sekelompok masyarakat berpandangan negatif terhadap institusi agama di negara ini.

Pengalaman peribadi juga mempengaruhi kita dalam beragama. Kes penceraian, dibuli disekolah, poligami dan permasalahan keluarga menyebabkan kita merasakan agama tidak dapat membantu kita pada saat memerlukan. Perkara ini boleh membenihkan sikap kurang percaya kepada agama.

Kaderisasi sesebuah organisasi Islam yang kadangkala ekstrem menanam fobia bagi mantan kader untuk bergerak aktif dalam organisasi Islam. Ia telah memberi pengalaman hitam yang sukar dilupakan. 

Pengalaman dengan orang beragama menitik titik hitam dalam hati anggota masyarakat untuk terus hidup beragama. Ada kalangan mereka sangat antiagama dan menganggap hasil keputusan para ulama itu hanya untuk kepentingan ulama dan pihak tertentu sahaja. Dan ada yang berani menentang dan mengutuk agama(adakala yang ditentang itu pentafsiran agama).

PENDATANG MELAYU: ANTARA KESETIAAN ATAU KETAATAN

 Kita semua adalah pendatang. Musafir hidup di dunia sebelum mati. Begitu juga asali manusia kita, Tok Adam terbuang-datang ke dunia angkara makan buah terlarang di syurga.

 Jadi persoalan pendatang cukup erat dengan manusia.

 Secara semangat nasionalisme yang melingkari persoalan bangsa dan negara, kita seringkali dimomok dengan sentimen kebencian kepada subjek yang boleh mengancam termasuk kaum lain atau negara lain. Ini menjadi umpan mudah para nasionalis dalam menaikkan semangat patriotik.

Islam mengajar kita tentang mencintai kebenaran, keadilan, kesaksamaan yang mengatasi nasionalisme. Kita mencintai bangsa dan agama, tetapi ia tidak mengatasi kebenaran dan keadilan. Saya kurang bersetuju mengatakan “Cina Penceroboh atau pendatang”. Kedatangan kaum Cina dan India datang ke Tanah Melayu beberapa fasa.

 Mereka telah dikesan datang sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Masyarakat Melayu Melaka ketika itu menerima mereka dengan baik. Kemudian diikuti semasa zaman sultan-sultan Melayu era negeri-negeri Melayu Lama dan Baru, dan diikuti zaman British.

Penerimaan Masyarakat Melayu Melaka terhadap ‘pendatang’ menunjukkan mereka mempunyai budaya kosmopolitanisme yang tinggi dengan ketoleransinya. Ini antara sifat bangsa yang bertamadun kelas tinggi. Paling menarik, Kesultanan Melayu Melaka bersedia menerima beberapa orang pembesar berketurunan India Muslim dapat pentadbiran mereka.

Suka atau tidak, kemajmukkan penduduk tidak dapat dielakkan bagi sesebuah negara kerana ia melibatkan sejarah dan kepentingan ekonomi.

Bukan semua Cina seperti Lim Kit Siang, Bukan semua Melayu seperti Ibrahim Ali. 

Bukan semua orang Cina termasuk kepimpinan DAP terbuka dan seolah-olah terbebas daripada pemikiran perkauman seperti Lim Kit Siang dan begitu juga orang Melayu yang bukan semua berpemikiran seperti Ibrahim Ali.

Dalam setiap bangsa, kewujudan pelbagai kelompok adalah normal kerana pemikiran kita diasuh oleh latarbelakang diri, pendidikan, persekitaran, pengaulan, pembacaan, kepentingan diri dan sifat peribadi diri. Perkara ini melahirkan kelompok perubahan, tradisi, ekstrem dalam masyarakat.

Pendidikan dan penerangan berterusan perlu dilakukan agar jurang diantara kelompok dapat dirapatkan.

 Ketaatan atau Kesetiaan?

 Antara keCinaan dengan keIndiaan, orang Melayu lebih merapati kebudayaan India walhal kedua-dua tamadun cukup erat dengan ketamadunan Melayu. Sebab itu orang Melayu boleh menangis melihat filem India berbanding filem China atau Arab. Orang Melayu juga suka makan roti canai, kari dan berkain pelikat. Ini semua bau bacan keIndiaan.

 Khabarnya, zaman dahulukala anak raja India telah mengikat sumpah dengan pembesar Melayu Palembang, bumi yang dikatakan bangsa Melayu berasal. Kesetiaan ini menjadi intipati feudalisme Melayu. Kesetiaan Melayu kepada pemimpin menjadi pertembungan dengan ketaatan kepada Allah. Kadangkala kesetiaan itu lebih besar daripada ketaatan.

Apabila Parameswara lari ke Temasik dan kemudian menubuhkan Kesultanan Melayu Melaka, kesetiaan orang Melayu ditagih sehingga Orang Laut dan penduduk asal Melaka bersedia menerima naungan Parameswara. Begitu kesetiaan rakyat kepada raja yang boleh kita anggap pendatang.

Bugis itu Melayu
 Banjar itu Melayu
Jawa itu Melayu
Batak itu Melayu
Sulu itu Melayu
Mamak juga Melayu..

Selasa, 3 Jun 2014

ULAMA, KEBAJIKAN DAN GELANDANGAN



Alhamdulillah, ramai orang suka melakukan pelbagai amal kebajikan termasuk anak muda yang bergelumang dengan orang gelandangan.  Sekarang pelbagai nama kumpulan anak muda yang turun ke lapangan rakyat. Nama seperti FNB, Dapur Jalanan dan Kindness antara badan atau program amal kebajikan yang dijalankan oleh anak muda di negara ini.

Setiap orang melakukan amal kebajikan masing-masing, ada mempromosi amalan mereka dengan pelbagai niat sama ada niat baik atau buruk dan ada juga yang lebih selesa melakukan kebajikan secara sembunyi tanpa publisiti. Justeru, tidak perlu kita mempersoalkan amalan kebajikan orang lain, paling penting diri terus istiqamah melakukan amalan kebajikan.

Ramai orang termasuk saya menyukai jika ulama atau para agamawan turun ‘mencemar duli’ ke  lapangan rakyat bawahan untuk berdakwah dan berkebajikan. Para agamawan jangan terlalu selesa dengan ceramah sehala dan kerusi empuk masjid sahaja menunggu kedatangan orang yang sedar dan insaf. Mereka mesti turun sendiri ke lapangan untuk menyelami, mendekati dan menjentik hati rakyat.  

Ulama berkhidmat dan berkebajikan bersama rakyat. Ini impian kita semua.

Dengan pelbagai niat, ramai orang mengkritik dan mengutuk para ulama yang masih leka dan alpa tentang khidmat dan kebajikan kepada rakyat.

Sebaiknya kita berbaik sangka, para agamawan juga manusia biasa. Bukan semua orang berfikir dan beramal seperti kita. Ketinggian taqwa bukannya ada pada agamawan.  Semua manusia tidak sempurna, segala kesalahan harus dimaafi dan semua kelemahan perlu dibantu dan ditampung oleh kita supaya keberhasilan kebajikan yang dilakukan lebih sempurna.

Dulu, terlintas juga rasa bangga kononnya berjaya menyedekahkan rm 0.20 sen setiap  kali solat berjemaah di masjid.  Keriya’kan hati semakin mensyaitan apabila melihat para ustaz kedekut untuk masukkan duit dalam tabung masjid. 

‘Kedekut punyai ustaz, puii’

Apabila lepak dalam usrah dan mesyuarat, kita dapat tahu para ustaz tadi menginfakkan gaji setiap bulan pembangunan PASTI dan menggunakan pinjaman peribadi untuk pembangunan institusi pendidikan dalam jemaah. Hati menginsafi.

“padanlah mereka kedekut”

Kita tak nampak, maka kita tak tahu
Kita tak tahu, maka tak berilmu

Anak Muda!! Ingatlah 10 Perkara.

oleh TG Tuan Ibrahim Tuan Man

 Wahai anakku,

Ingatlah 10 Petua Kehidupan ini sepanjang masa. Tatkala ayahanda dan bonda tiada, 10 petua ini boleh membantu kamu menempuh cabaran dunia Allah untuk mencapai kecemerlangan di akhirat.


 1. Jangan jauh dengan Allah. Dekati Allah dengan membaca Quran sekurang-kurangnya 3 hari sekali.

 2. Jaga air liur. Cakap, dengar dan baca perkara baik selalu supaya air liur yang dihasilkan adalah baik dan ditelan selalu. Mengumpat dan perkataan ‘cuba’ adalah racun yang menjurus kepada perasaan negatif.

3. Perkara lepas biarlah ia berlepas supaya ia tidak mengganggu masa depan.

4. Tidak perlu menyibuk dengan pandangan orang lain.

5. Jangan selalu ingat masih ada banyak masa. Ingat mati tiada syarat tua, mati juga tiada syarat sakit.

6. Jangan fikir terlalu banyak. Memang ada jawapan yang kita tidak akan ketahui. Tapi jawapan akan datang secara tidak sedar.

 7. Tiada orang yang boleh mengawal minda kamu, selain kamu. Sepertimana kegembiraan dan kesedihan kamu.

8. Sentiasa memberi tanpa mengharapkan pulangan. Kamu akan mengecapi nikmat terbesar sebagai seorang manusia dan mengerti perbuatan memberi akan mendatangkan pahala dan kegembiraan terbesar di hati.

 9. Jangan fikir terlalu banyak dan kurangkan berenung. Buat sahaja apa yang patut tanpa putus asa. Jangan menghina Allah dengan menyatakan kegagalanmu adalah takdir-Nya tatkala kamu malas, kurang berusaha dan mudah berputus asa.

 10. Senyum selalu. Bukan kamu seorang sahaja yang ada masalah. Dan sebenarnya masalah kamu cumalah mainan minda kamu. Yang ada hanyalah cabaran sementara.

 Dari ayahandamu. Senyum

Isnin, 2 Jun 2014

Islam: Agama dengan hujah


Agama Islam bersandarkan hujah-hujah, dalil, perbandingan dan rasional. Agama Islam bukannya berwahana menghina, mencaci, memburukkan agama-agama lain.

Saya suka melihat pendekatan Dr Zakir Naik dalam berdakwah. Beliau berhujah dengan membuka ruang 'dialog agama' dengan perbandingan hujah antara agama bukannya menghina atau merendah-rendah agama lain sehingga menjadi modal utama untuk berceramah.

Apabila Dr Zakir Naik mengemukakan hujah, akhirnya kita membuat penilaian atau pilihan berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan beliau.

Di Malaysia, ceramah kita sehala, kurang suasana 'berdialog agama' dan kebanyakan merendah agama lain.

Perkara ini tak sihat bagi pencerahan minda muslin Malaysia.

Kamu Sudah Murtad?

Manusia diberi akal untuk membuat pilihan berdasarkan kehendak hati dan ilmu yang mereka miliki.

Ada dalam kalangan umat Islam telah keluar daripada agama atau murtad dengan pilihan mereka. Perkara ini sukar diatasi kerana mereka sudah menyakini sesuatu yang lain daripada Islam.

Pada saya, jika mereka keluar Islam tetapi menyembunyi kemurtadan mereka. Biarkan mereka kerana Islam mementingkan kualiti mukmin bukannya kuantiti muslim. Biarkan mereka dengan keyakinan baru mereka.

Dan jika mereka  secara terang mengisytiharan murtad, menghina Islam dan cuba mencabar agama Islam, mereka seumpama ini perlu dihukum.

Jadi sang murtad, boleh bebas memilih keyakinan lain dengan aman atau bebas memilih keyakinan lain dengan menghina Islam?

Manusia: Apa yang mereka yakini..

Ada dalam kalangan kita terlalu berbangga dengan nilai kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia dan ideologi. Semuanya adalah plastik khayalan yang mencair sahaja. Ia terlalu rapuh dan utopia.

Pihak barat yang mengagungkan kebebasan dan hak asasi manusia sendiri, apabila terkena pada batang hidung sendiri akan menentang keras perkara yang sepatutnya diutamakan dalam hak asasi dan kebebasan.

Pembinaan menara masjid dan pemakaian  hijab umpamanya, dihalang oleh pihak berkuasa di Barat. Persoalan yang timbul, dimanakah hak asasi dan nilai kebebasan yang mereka perjuangkan?

manusia
Apa yang mereka yakini

manusia
apa yang mereka amalkan

manusia
apa yang mereka bukukan dalam hati

manusia
apa yang mereka pentingkan

manusia
apa yang mereka anuti dalam pengakhiran nyawanya